Lelaki suka 'stalk' jurufoto wanita selama 8 tahun kena tahan di Jabatan Neurologi HKL


  • 112
  • Sabtu, 22 Jul 2023

Jurugambar wanita itu mula diganggu sejak tahun 2016, dan membuat laporan polis sebanyak tiga kali pada 2018, 2022 dan 16 Julai 2023.

POLIS mengenal pasti pemilik akaun Instagram yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang jurugambar wanita yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenai pemilik akaun itu pada 20 Julai lepas.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati orang yang disiasat (OYDS) merupakan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun dan menetap di Shah Alam.

"OYDS sering menggunakan akaun Instagram dan Twitter untuk berhubung dengan pengadu dengan memberikan komen cinta dan menghantar pesanan berbentuk lucah sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada pengadu.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, polis telah membuat permohonan kepada SKMM untuk menyekat akaun-akaun milik OYDS yang terlibat untuk menghentikan perbuatan terbabit terhadap pengadu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Fakhrudin berkata, individu itu kini ditahan di wad di bawah Jabatan Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

"Polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan daripada pihak hospital dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk nasihat dan arahan lanjut.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis mengesahkan menerima laporan berhubung gangguan seksual dalam talian dihadapi jurugambar wanita pada 2018.

Mangsa menerusi hantaran di Instagram baru-baru ini berkongsi bagaimana dirinya diganggu secara seksual oleh individu itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram