
TIGA individu yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta jenis pelbagai guna (MPV) di Hentian Sebelah Yong Peng arah selatan di Batu Pahat, Johor pada malam Selasa dipercayai tertidur akibat kepenatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan, mereka dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Pasir Gudang, Johor.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa iaitu Myo Htet, 25, Zaw Naing, 23, dan seorang wanita, Khin Mar Yee, 27, dikatakan meminjam MPV jenis Perodua Alza itu daripada seorang rakan di Johor Bahru.
"Mereka mahu pulang ke Pasir Gudang dan berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) tersebut untuk berehat," katanya pada Rabu.
Jelas Shahrulanuar, orang awam yang berada di lokasi kejadian mula berasa curiga apabila mendapati kenderaan terbabit berhenti terlalu lama dengan enjin dan pendingin hawa tidak dimatikan.
"Apabila mendekati MPV itu, mereka melihat tiga individu sedang 'tidur' lalu memanggil serta mengetuk cermin tingkap, namun ketiga-tiga mereka tidak memberi sebarang tindak balas. Semua cermin tingkap ditutup rapat serta pintu kereta berkunci dari dalam.
"Justeru itu, mereka bertindak memecahkan cermin tingkat di bahagian pemandu untuk membuka pintu. Selepas berjaya dibuka, kesemua mangsa dipercayai sudah kaku sebelum menghubungi polis dan ambulans," ujarnya.
Ketiga-tiga mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian. — Orang awam
Shahrulanuar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 9.15 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Balai Polis Yong Peng dan Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah Johor bergegas ke lokasi.
Katanya lagi, pasukan perubatan tiba di lokasi pada pukul 10.10 malam dan membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga mangsa, namun mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
"Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian.
"Polis memohon kerjasama orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian agar dapat tampil membantu siasatan atau menyalurkan maklumat ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999," katanya.
Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut sebelum menunggu laporan bedah siasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram