Cekik adik sampai mati di Melaka, abang diperintah jalani ujian psikiatari


Tangkap layar video memaparkan kejadian menyayat hati melibatkan dua beradik yang dirakam menerusi CCTV di lokasi kejadian di Kampung Bukit Piatu.

SEORANG pelajar Tingkatan Dua didakwa di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka pada Selasa atas kesalahan membunuh adik lelakinya berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu, Melaka Tengah pada 5 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Tertuduh yang ditemani oleh ibu bapanya hanya mengangguk ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Selasa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mencekik adiknya sehingga mati antara 11.30 pagi hingga 12.35 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu, Melaka Tengah pada 5 Julai lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, manakala tertuduh berusia 14 tahun tidak diwakili peguam.

Terdahulu, seorang jiran menerima panggilan daripada ibu mangsa pada waktu tengah hari 5 Julai lalu memaklumkan kejadian membabitkan anak sulung daripada empat beradik dan adik lelakinya.

Ibu mangsa telah melihat kejadian tersebut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya dan memaklumkan kepada jirannya

Mangsa kemudiannya ditemui tidak bernyawa dengan kecederaan di kepala, hidung dan leher. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram