Bunuh, abai anak, ibu dan teman lelaki hanya angguk faham ketika didakwa


Muhammad Firman Hakimie didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammd Haziq Damiri Najli di sebuah rumah di Taman Paya Emas, Cheng. — Bernama

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia tiga tahun.

Muhammad Firman Hakimie Abdul Rahman, 25, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammd Haziq Damiri Najli di sebuah rumah di Taman Paya Emas, Cheng dalam daerah Melaka Tengah, Melaka antara pukul 5.30 pagi hingga 6.30 pagi pada 6 Julai lepas.

Tertuduh yang bekerja membaiki mesin pencetak itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Tiada pengakuan direkodkan kerana dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hasan.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Nurasyiqin Syaqiqah A. Ramlee, 24, juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka.

Dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu ibu kandung kepada kanak-kanak itu melakukan pengabaian atau mendedahkan anaknya dengan cara yang mungkin akan membenarkannya dianiaya dengan menyerahkan mangsa kepada Muhammad Firman.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat, tarikh dan masa sama. Dia dituduh mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari tidak menawarkan jaminan manakala tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain memohon jaminan memandangkan anak guamnya menjaga ibunya yang sakit dan serta bersetuju dengan apa-apa syarat tambahan yang dikenakan.

Hakim Darmafikri Abu Adam menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta beberapa syarat tambahan termasuk melapor diri setiap bulan di balai polis serta tidak mengganggu saksi pendakwaan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram