GARA-GARA termakan cendawan di kawasan rumah, sebuah keluarga mengalami keracunan makanan dan dikejarkan ke hospital baru-baru ini.
Difahamkan kejadian itu berlaku selepas seorang suri rumah menyediakan hidangan cendawan goreng yang dipercayai beracun.
Menurut perkongsian wanita berkenaan melalui akaun TikTok mas.ita pada Jumaat, cendawan tersebut dipetik oleh suaminya di tepi kawasan rumah mereka yang tidak dinyatakan lokasinya.
Katanya, dia mengambil cendawan berkenaan dan membersihkannya seperti biasa.
“Saya ambil cendawan itu, dan membersihkannya seperti biasa untuk dijadikan hidangan.
“Apabila diteliti cendawan itu, ia kelihatan sama seperti cendawan busut tetapi ada sedikit perbezaan pada teksturnya,” katanya.
Tambahnya lagi, ketika memasak cendawan tersebut dia berasa ragu-ragu apabila cendawan yang dimasak bertukar warna kehijauan tetapi tidak mengendahkannya.
Dia menyedari cendawan itu beracun selepas menikmati hidangan berkenaan dan menyebabkan mereka semua mengalami muntah-muntah yang sangat teruk serta berada dalam keadaan yang lemah.
Katanya, akibat daripada itu mereka sekeluarga berada dalam keadaan lemah sehingga memaksa wanita itu menghubungi talian kecemasan sebelum mereka semua dikejarkan ke hospital.
“Selepas sahaja kami memakan hidangan itu, kami mula berasa sakit. Saya ‘google’ cendawan itu, rupa-rupanya betul kami dah termakan cendawan beracun.
"Suami terus suruh saya buang cendawan itu sebelum anak-anak kami yang lain makan. Saya panik kerana suami saya sudah lemah dan tidak boleh memandu sebelum saya menghubungi talian kecemasan," ujarnya.
Wanita berkenaan turut menasihati orang ramai agar menjadikan videonya itu sebagai pengajaran dan lebih cakna mengenai cendawan yang tidak boleh dimakan kerana beracun.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh kejadian itu berlaku.
Majoriti sudah menghubungi pemilik video untuk mendapatkan maklumat lanjut.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram