
MAYAT seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di atas longgokan sampah pada tempat pembuangan sisa di kawasan Fajar, Lahad Datu, Sabah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, bayi lelaki itu dijumpai dalam keadaan dibalut dengan pakaian kemeja wanita belang berwarna kelabu oleh pekerja pembersihan kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu.
"Lelaki terbabit yang berusia 44 tahun adalah pemandu lori kontraktor pembersihan sampah yang ketika itu sedang memungut sampah di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mayat bayi itu sudah dihantar untuk bedah siasat di Hospital Lahad Datu.
Rohan berkata, polis menyiasat kes itu di bawah Seksyen 318 kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara rahsia.
Jelas beliau, kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di mahkamah.
Dalam pada itu, Rohan berkata, polis sedang menyiasat kes itu dan cuba menjejaki individu terlibat dalam kes membuang bayi itu.
“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi talian hotline polis Lahad Datu 089-881 255 atau pegawai penyiasat Inspektor Sophia Thomas Rafter di talian 013-939 2505," ujarnya dalam kenyataan sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram