Bayi 10 bulan positif syabu, ibu muda kena tahan di Taiping


  • 112
  • Rabu, 12 Jul 2023

Pegawai perubatan hospital memaklumkan kanak-kanak positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. — Gambar hiasan

POLIS menahan seorang wanita berusia 21 tahun selepas anak perempuan berusia setahun 10 bulan didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kes itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada Hospital Taiping pada Selasa.

Beliau berkata, pegawai perubatan hospital memaklumkan kanak-kanak positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Terdahulu kita difahamkan kanak-kanak itu dihantar ke rumah neneknya sementara ibunya keluar membeli barangan runcit di kedai berhampiran.

"Ketika hendak tidur, kanak-kanak itu menangis dan menunjukkan tingkah laku tak terkawal dan suspek mangsa membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Taiping," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Razlam berkata, polis menahan ibu kanak-kanak berkenaan, yang juga seorang suri rumah dan ujian air kencing yang dijalankan ke atasnya mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kanak-kanak itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram