'Saya reda dengan ujian ini', Eiyi hilang anak, menantu dan 7 cucu sekelip mata


  • Massa
  • Isnin, 03 Jul 2023

Eiyi tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSNZ untuk menunggu keputusan bedah siasat pada Isnin. — Bernama

WALAUPUN berat ujian yang ditanggung, Eiyi Johari, 60, bapa kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu reda dengan pemergian anaknya.

Selain Azizah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, dia turut kehilangan seorang menantu, Karim Abdullah, 39, (suami Azizah) dan tujuh cucu yang turut sama dalam perkelahan di kawasan rekreasi berkenaan.

Menurut Eiyi, dia tidak menyangka akan kehilangan sembilan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi mereka baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama.

"Saya reda dengan ujian ini... (Pada hari kejadian) saya keluar bekerja dan dimaklumkan oleh isteri yang mereka sekeluarga berkelah.

"Mereka tidak tinggal serumah dengan kami, tetapi masih dalam kampung yang sama. Suaminya pula berulang-alik kerja dari Felda Lepar Hilir ke Air Putih setiap hari," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu, pada Isnin.

2157020

Polis mengesahkan sembilan mangsa dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih di Kemaman, Terengganu adalah daripada keluarga yang sama. — Bernama

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.

Ariffin berkata, kejadian tragedi kepala air di kawasan Jeram Mawar itu merupakan kejadian luar jangka kerana berlaku di luar musim tengkujuh.

CHUKAI, 3 Julai -- Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat dipercayai kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas, hari ini.

Seramai tujuh mayat mangsa tragedi itu ditemui hari ini, menjadikan jumlah keseluruh seramai sembilan mangsa.

-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA


Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat dipercayai kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas, Kemaman Terengganu. — Bernama

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang ingin keluar beriadah terutama di kawasan rekreasi air mendapatkan maklumat ramalan cuaca daripada laman web agensi berkaitan.

"Jabatan Meteorologi ada keluarkan amaran hujan lebat dan ribut melibatkan negeri-negeri Semenanjung sehingga 5 Julai ini.

"Saya harap sesiapa yang ingin melakukan aktiviti di air lebih peka dengan amaran berkaitan bagi mengelak sebarang tragedi," katanya.

Setakat Isnin, tujuh mangsa ditemukan termasuk penemuan mayat Azizah dan anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, pada tengah hari Ahad manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.

Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi Isnin. — Bernama