Remaja perempuan mangsa ke-7 Jeram Mawar, 3 masih hilang


  • 112
  • Selasa, 04 Jul 2023

Anggota bomba melakukan persiapan sebelum meneruskan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar. — Bernama

SATU lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, ditemukan pada pagi Selasa.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata, mayat dipercayai remaja perempuan ditemukan pada 7.45 pagi sekali gus menjadikan keseluruhan tujuh mangsa telah dijumpai setakat ini.

Bagaimanapun, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana pengecaman mayat belum dilakukan oleh waris.

"Mayat dijumpai oleh penduduk kampung di belakang Masjid Kampung Dadong, kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian. Mayat dibawa naik dari sungai pada 8.15 pagi dan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih,” katanya kepada pemberita.

Setakat Isnin, enam mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Mangsa yang masih hilang ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Dilaporkan Karim dan Azizah bersama tujuh anak mereka serta Muhammad Fikri yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati pergi berkelah di jeram berkenaan pada Sabtu sebelum hilang dihanyutkan kepala air. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram