LAMBAKAN warga asing dan pendatang haram di Malaysia dipercayai berpunca daripada amalan rasuah yang diamalkan dalam kalangan pegawai imigresen.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memaklumkan, amalan buruk itu boleh memberikan peluang kepada warga asing untuk memasuki negara secara haram atau memperoleh dokumen imigresen dengan cara yang tidak sah.
Malah menurut institusi tersebut, pihak bertanggungjawab dalam proses imigresen yang terlibat dalam amalan rasuah mungkin menerima suapan atau hadiah untuk memudahkan proses imigresen, mengelakkan pemeriksaan yang ketat, atau memalsukan dokumen imigresen.
"Punca rasuah dalam imigresen adalah akibat dari kekurangan integriti dan etika dalam kalangan pegawai imigresen, sistem yang tidak cekap atau terlalu rumit, atau kurangnya pengawasan dan penguatkuasaan yang efektif terhadap individu yang terlibat dalam amalan rasuah.
"Keadaan ini (lambakan warga asing dan pendatang haram) perlu diberikan perhatian serius kerana ia melibatkan aspek keselamatan negara dan kedaulatan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Oleh itu, MCW menyarankan beberapa langkah tegas dan menyeluruh bagi menangani isu rasuah dalam kalangan pegawai imigresen.
Pertama, perlu ada penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam rasuah dalam imigresen.
Ini termasuk siasatan menyeluruh, pendakwaan yang adil, dan hukuman yang setimpal bagi mereka yang terlibat dalam amalan rasuah.
Kemasukan pendatang asing secara tidak sah boleh menggugat keamanan setempat, selain mencalarkan imej negara. — Gambar hiasan.
Bagaimanapun menurut MCW, perlindungan yang wajar perlu diberikan kepada pemberi maklumat untuk mendedahkan amalan rasuah dalam imigresen.
Selain itu, sistem imigresen dan proses pengawasan perlu ditambah baik, selain dipermudah tanpa perlu mengorbankan keamanan dan kedaulatan negara.
"Sistem pemantauan dan pengawasan yang lebih efektif perlu diwujudkan untuk memantau aktiviti imigresen dan mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan yang tidak sah," katanya.
Namun begitu, pihak MCW menegaskan tentang kepentingan meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam tentang bahaya rasuah dalam imigresen.
Katanya, rakyat perlu memahami impak negatif yang disebabkan oleh warga asing tidak sah dan pendatang haram terhadap keselamatan negara, ekonomi dan sosial supaya mereka melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa dalam menangani isu imigresen.
"Dalam mengatasi lambakan warga asing dan pendatang haram di Malaysia serta masalah rasuah dalam imigresen, kerjasama dan koordinasi antara agensi penguatkuasaan, imigresen dan pasukan keselamatan adalah penting.
"Ia akan memastikan sumber daya dan maklumat berkaitan digunakan secara efektif untuk mencegah dan menangani masalah tersebut. Keselamatan negara dan integriti institusi imigresen adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram