Kereta berselut lumpur, 10 sekeluarga dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air di Kemaman


  • 112
  • Ahad, 02 Jul 2023

Keadaan kereta mangsa kesan daripada kepala air yang berlaku di lokasi kejadian. — Twitter

SEORANG lelaki dan wanita ditemukan lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman.

Menurut sumber, mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira 12.45 tengah hari, Ahad.

Mayat pertama, seorang wanita dijumpai orang ramai di tebing sungai berhampiran Kubur Kampung Laut manakala mayat kedua, seorang lelaki ditemukan di atas kayu di tebing sungai menuju ke Tasik Hutan Sungai Air Putih.

photo1688299682 (2)

Keadaan kereta mangsa yang diselaputi lumpur tebal. — Twitter

Difahamkan, mangsa lelaki yang dipercayai bersaudara dengan mangsa wanita terbabit ditemui tersangkut di pokok pada jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian.

Namun identiti kedua-dua mayat serta lapan lagi ahli keluarga yang dikhuatiri hilang itu belum diperoleh.

Gerakan mencari baki lapan mangsa termasuk seorang budak berusia empat tahun giat dijalankan.

photo1688299682

Keadaan kereta mangsa yang diselaputi lumpur tebal. — Twitter

Pemantauan di lokasi kejadian menemukan sebuah kereta jenis Proton Gen2 bernombor pendaftaran JHY 5517 dan sebuah motosikal jenis SYM dengan nombor pendaftaran CER 5753 lebih kurang dua kilometer dari lokasi penemuan mayat kedua.

Keadaan dalam kereta tersebut kelihatan berselut dan dipenuhi ranting serta daun kering selain botol plastik dan selipar.

Menurut sumber, hasil siasatan awal pada kedua-dua mayat tidak menemukan sebarang kesan kecederaan atau peninggalan perlakuan jenayah.

photo1688302507

Sebuah motosikal jenis SYM ditemukan 2km dari lokasi penemuan mayat kedua. — Twitter

"Mangsa dipercayai lemas kesan daripada kepala air yang berlaku di lokasi kejadian dan identiti mangsa belum dikenal pasti. Mayat dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, difahamkan kira-kira 10 orang dihanyutkan air dalam kejadian tersebut dengan mangsa membabitkan tiga lelaki dan tujuh wanita. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram