Mengaku salah rotan anak, bapa kena denda RM1,400 dan dihukum penjara


Goh Chiaw Hoe dihukum penjara sehari dan didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di Muar, Johor pada Rabu. — Bernama

SEORANG bapa dihukum penjara sehari dan didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di Muar, Johor pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, tahun lepas.

Majistret, Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap Goh Chiaw Hoe, 36, seorang penganggur, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah, sewaktu sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara tersebut pada Rabu dan mengarahkan dia dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Goh didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika kejadian, di Taman Beting, Muar pada 6 petang, 7 Ogos tahun lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12.30 tengah hari, 8 Ogos 2022, seorang pegawai perubatan telah menerima seorang pesakit, dibawa oleh gurunya kerana terdapat kecederaan di tangan kiri dan kaki kiri akibat dirotan oleh bapanya, sebelum pegawai perubatan itu membuat laporan di Balai Polis Muar dan menyatakan mangsa telah dipukul.

Mangsa yang mengalami kecederaan lebam di tangan kiri serta kaki kiri telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan bapa kanak-kanak itu telah ditangkap untuk siasatan lanjut pada 10 malam, 9 Ogos 2022.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor manakala peguam Tay Chee Fu mewakili tertuduh. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram