Bukan hanya Zuraida, 'pengkhianat' lain juga tidak terlepas tindakan undang-undang — Fahmi Fadzil


  • Politik
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyaman Zuraida bagi pihak parti itu pada 28 September 2020.

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mungkin mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa bekas ahlinya yang telah mengkhianati parti sebelum ini, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang memerintahkan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

"Dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini... bukan beliau sahaja yang melompat parti pada waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.

"Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang telah mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram