
TAN Sri Razarudin Husain dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun ini bagi menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan bersara awal.
Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu.
Menurut beliau, pelantikan Razarudin, 61, dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri.
Razarudin yang merupakan anak kelahiran, Dengkil, Selangor sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Negara bermula pada 2021.
Beliau yang memiliki kelulusan ljazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan memulakan tugasnya pada 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat.
“Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dan atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis dengan pelantikan kontrak selama dua tahun.
"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini," kata Saifuddin.
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam pada itu, beliau dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan mengenai pelantikan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa Jumaat ini.
Ayob Khan, 51, memiliki kelulusan ljazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.
Beliau memulakan tugas pada 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.
Ayob Khan turut pernah berkhidmat selama empat tahun dan dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 serta menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.
Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram