[VIDEO] Bayi lelaki baru lahir kena buang tepi jalan tenat, meninggal dunia di Hospital Serdang


  • 112
  • Selasa, 20 Jun 2023

Bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemukan di tepi jalan berhadapan kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Kajang, pagi Selasa. — Facebook

SEORANG bayi lelaki dipercayai baharu dilahirkan ditemukan di tepi jalan berhadapan kawasan letak kereta sebuah pangsapuri di Kajang, Selangor pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bagaimanapun, bayi malang itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu oleh seorang lelaki berusia 51 tahun pada pukul 7.07 pagi.

"Bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan terbaring bersama uri tanpa pakaian serta tiada nota dan disahkan berada dalam keadaan tenat sebelum dibawa ke Hospital Serdang.

"Setelah rawatan diberikan, pada pukul 10.35 pagi pihak hospital mengesahkan bayi itu meninggal dunia dan seterusnya akan menjalani proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209 960 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram