[VIDEO] 'King up level', pemandu didakwa cuba guna jejambat motosikal lintas jalan


  • Tular
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pemandu Myvi itu yang cuba melintas jalan menggunakan jejambat laluan motosikal.

KERETA Perodua jenis Myvi yang juga dikenali sebagai king of the road di negara ini sememangnya sering kali menjadi perhatian masyarakat Malaysia akibat pelbagai kerenah ditimbulkan pemandu kenderaan tersebut.

Terbaharu, seorang pemandu Myvi berwarna putih dirakam membuat tindakan di luar kebiasaan selepas cuba menggunakan jejambat yang diperuntukkan khas untuk penunggang motosikal.

Dalam video tular sejak Jumaat yang berdurasi 55 saat itu, pemandu berkenaan dilihat memasuki laluan tersebut yang pada ketika itu turut dilalui oleh beberapa penunggang motosikal.

Insiden dirakam oleh seorang penunggang yang melalui laluan tersebut difahamkan berlaku di sekitar Puchong, Selangor.

Berdasarkan klip tersebut, pemandu berkenaan dipercayai cuba mengambil shortcut dengan melintasi jalan tersebut menggunakan laluan terbabit dengan jalan raya utama ketika itu dilihat mengalami kesesakan.

Tindakan pemandu itu berbuat demikian menyebabkan motosikal yang melalui laluan tersebut tersekat kerana jalan keluar dari jejambat berkenaan tertutup sepenuhnya oleh kereta berkenaan.

Disebabkan itu, Myvi putih terbabit dilihat terpaksa mengalah dan berundur bagi memberi laluan kepada motosikal yang berada di laluan tersebut.

"Dia nak potong jalan situ masuk terus lebuh raya sebab sinikan jem," kata amirol.

"Myvi tu macam dah biasa selalu buat je,"tulis Al Haq.

"Terlupa agaknya, dia ingat bawa motor,"ujar bienads.

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian itu berlaku dan nasib pemandu itu juga tidak diketahui. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram