Gambar tular beri MyKad kepada warga China 'bisu' isu lama


  • Primer
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Gambar kes pada tahun 2019 yang ditularkan semula bagi memberi imej buruk kepada kerajaan Madani.

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan pembabitan kerajaan dalam pemberian MyKad kepada warga China seperti yang tular di media sosial.

Beliau berkata, kes berkaitan gambar berkenaan berlaku pada tahun 2019 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi menteri KDN.

“Saya yakin beliau (Muhyiddin) tidak terlibat, pegawai Jabatan Pendaftaran yang berkenaan pun dah ditangkap, disiasat dan kini sedang dibicarakan.

“Pemegang MyKad itu pula telah diusir balik negara asalnya,” ujarnya menerusi Facebook pada Jumaat.

Saifuddin berkata, ada pihak yang sengaja mencari salah kerajaan Madani tanpa rasa bersalah untuk menyemak maklumat.

“Asal dapat main sentimen kaum dan dapat keuntungan politik mereka puas hati,” katanya.

Majoriti pada Khamis melaporkan timbul dakwaan seorang lelaki dipercayai rakyat China, namun mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia tanpa perlu melalui prosedur rumit.

Menerusi dakwaan itu, seorang pengguna Facebook dengan nama Shafie Shafie mendedahkan terjumpa dengan seorang lelaki dipercayai warga China yang bukan saja mempunyai kad pengenalan, malah lesen memandu di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram