PENGGUNA jalan raya berpeluang menikmati tol percuma di Plaza Tol Alam Damai selama dua minggu bersempena pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Fasa Dua yang akan dibuka secara rasmi bermula 12.01 tengah malam Jumaat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh tol percuma akan bermula dari 16 hingga 29 Jun bagi menggalakkan lebih ramai pengguna yang menggunakan laluan itu.
“Ia akan menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi kerana mereka yang tidak menggunakan lebuh raya baharu akan menikmati trafik lebih lancar dan perjalanan yang lebih pantas.
"Ini akan mempercepat perjalanan orang ramai ke tempat kerja, seterusnya membolehkan mereka menjadi lebih produktif," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Lebuhraya SUKE Fasa Dua pada Khamis.
Fasa kedua melengkapkan objektif utama projek untuk bertindak sebagai laluan alternatif buat orang awam yang menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) bagi melakukan perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang.
Lebuhraya SUKE fasa dua dijangka mampu mengurangkan kira-kira 30 peratus kesesakan trafik di sepanjang MRR2, manakala 36 peratus dari Jalan Ampang dan Jalan Loke Yew (12 peratus), yang kesemuanya kerap mengalami kesesakan lalu lintas.
Ia juga akan melibatkan baki jajaran utama sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Sri Petaling, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) hingga Persimpangan Cheras-Kajang melengkapkan jajaran utama SUKE sepanjang 24.4 kilometer bermula dari persimpangan Sri Petaling berakhir di persimpangan Bukit Antarabangsa.
Selepas dua minggu, kadar bayaran tol di plaza tol tersebut adalah sebanyak RM2.30. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram