Budak 7 tahun lemas dalam kolam taman tema di Banting


  • 112
  • Ahad, 11 Jun 2023

Kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakaknya berusia 8 tahun sedang bermain air di sebuah kolam di taman tema berkenaan. — Gambar hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemukan lemas di dalam kolam sebuah taman tema air di Banting dekat Shah Alam, Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.28 tengah hari selepas orang awam menjumpai mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kolam tersebut.

"Kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakaknya berusia 8 tahun sedang bermain air di sebuah kolam, bapa mangsa kemudian dimaklumkan oleh orang awam bahawa salah seorang anak perempuannya tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian dibawa ambulans ke Hospital Banting dan pihak hospital mengesahkan punca kematian adalah disebabkan lemas," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan dengan itu, Ahmad Ridhwan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Beliau turut memberi peringatan kepada orang awam khususnya ibu bapa dan penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tanpa pengawasan yang berpatutan untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi yang tidak diingini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram