[VIDEO] Mengamuk tak dipanggil ‘baby’, pelanggan kurang kasih sayang di Putra Height rupanya ada 5 rekod jenayah


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga melempar bungkusan nasi dan air panas di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights.

POLIS menahan seorang lelaki tempatan selepas tular videonya mengamuk serta membaling bungkusan makanan dan minuman di sebuah restoran Putra Height, Selangor pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, lelaki berusia 50 tahun ditahan pada pukul 1 pagi Sabtu di Jalan Samudera Utara 2, Taman Samuidera, Batu Caves, Selangor.

Katanya, penahanan lelaki itu berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang wanita pada Selasa lalu setelah mendapati insiden suspek mengamuk tular di media sosial.

"Dalam video berkenaan, kira-kira pukul 9 pagi (Ahad lepas), semasa pengadu bersama pekerja sedang melayan pelanggan di sebuah restoran, seorang lelaki iaitu suspek secara tiba-tiba bertindak agresif.

"Lelaki itu menjerit dan membaling bungkusan makanan serta air minuman panas ke dalam kedai dan terkena anak pengadu yang berumur empat tahun,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Azlan berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod berkaitan jenayah.

Suspek kini direman sehingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506/352 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menggunakan kekerasan jenayah.

Sebelum ini Majoriti melaporkan video tular memaparkan seorang lelaki mengamuk sehingga bertindak melempar bungkusan nasi dan air panas dipercayai di Restoran Darlis Nasi Dagang, Putra Heights, Selangor sekitar pukul 9.15 pagi pada Ahad.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran itu menunjukkan, lelaki yang memakai baju berwarna kuning tersebut sepertinya bercakap dengan nada marah, namun tidak dapat dikenal pasti individu yang dimarahinya.

Berdasarkan laporan media, suspek dikatakan mengamuk kerana tidak dipanggil abang dan 'baby' oleh pekerja restoran terbabit.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram