PRU15: GRS cadang pengundi bawa sijil lahir ketika mengundi


  • Politik
  • Isnin, 24 Okt 2022

Kakitangan SPR, Muhammad Nur Asri Mansor menyusun bahan-bahan pilihan raya di stor SPR Kuching, Sarawak untuk dihantar ke pelbagai kawasan Parlimen di negeri itu bagi PRU15.

PARA pengundi dicadangkan membawa sijil kelahiran bersama kad pengenalan ketika mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang, Kenny Chua mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat tersebut bagi mengelakkan individu dengan identiti serta latar belakang diragui, membuang undi pada 19 November depan.

“Isu peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang luar biasa dan meragukan amat merisaukan rakyat negeri ini.

“Satu cara yang kita fikir berkesan untuk menghalang individu-individu berkenaan ialah dengan menyeru pihak SPR menetapkan syarat agar pengundi membawa dokumen sokongan seperti sijil lahir pada hari mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenny yang juga Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata, pengesahan dengan hanya sekadar menggunakan kad pengenalan tidak mencukupi.

Menurutnya, kontroversi 'Projek IC' mengakibatkan rakyat Sabah hilang keyakinan terhadap kad pengenalan sebagai satu-satunya dokumen yang mengesahkan ketulenan kerakyatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, cadangan untuk membawa bersama sijil kelahiran ketika mengundi bukanlah penyelesaian sepenuhnya dalam usaha untuk memastikan sistem pemilihan kerajaan 'bersih' daripada individu tanpa pengenalan diri sah.

Beliau merujuk kepada satu kes pada 2019 yang membabitkan penahanan tiga individu termasuk seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Semporna yang didakwa terlibat dalam pemberian sijil lahir dan MyKad kepada pendatang asing.

“Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menghalang mereka ini daripada mengundi, itu hak rakyat dan kita mohon SPR mempertimbangkan cadangan kami,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram