[VIDEO] Polis buru 3 lelaki menyamar anggota penguat kuasa kejar kenderaan lain di Johor


  • 112
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan tiga lelaki tersebut yang mengejar kenderaan mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis.

POLIS sedang memburu tiga lelaki dilihat dalam satu video tular yang menyamar sebagai polis dengan mengejar sebuah kenderaan lain di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kulai, Johor.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Yusof Othman berkata, satu laporan dibuat seorang anggota polis pada pukul 1.52 tengah hari Isnin berhubung video berkenaan.

“Video itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa dia dikejar lelaki menyamar sebagai polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands (Pahang).

“Siasatan mendapati kejadian berlaku di Kilometer (KM) 41.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Sedenak,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, suspek cuba menahan mangsa dan berada di dalam kereta serta menggunakan lampu berkelip biru atau beacon, sama seperti digunakan polis.

“Mangsa bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

“Polis sedang mencari pemilik kenderaan yang dilihat dalam video itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di talian 07-663 7222,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Video tular sejak Isnin itu memaparkan tiga lelaki memakai pelitup muka dan jaket sedang memecut di sepanjang lebuh raya.

Ketika kereta itu berada di sebelah kenderaan mangsa, seorang lelaki di tempat duduk penumpang hadapan mengeluarkan lampu beacon dan memberi isyarat kepada mangsa untuk berhenti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram