[VIDEO] Kereta disyaki menyamar polis cuba tahan pemandu di JB


  • Tular
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar video tular memaparkan kenderaan jenis SUV itu cuba menahan kereta lain dalam kejadian yang berlaku di Johor Bahru, Johor.

SEBUAH kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipercayai menyamar sebagai polis cuba menahan sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian di Johor Bahru, Johor.

Dalam video tular sejak Isnin itu, kereta berwarna putih terbabit dilihat menggunakan lampu strob atau lampu mata arah yang sering digunakan kenderaan penguatkuasa.

Bagaimanapun, rakaman yang tidak mendedahkan tarikh sebenar kejadian itu memaparkan kereta terbabit hanya berhenti sebentar di hadapan kenderaan mangsa sebelum kembali meneruskan perjalanan.

Individu berada di dalam kereta putih berkenaan juga dilihat tidak turun daripada kenderaannya.

"Adakah ini polis sebenar? Kerana saya tidak melihat sebarang lencana polis di sebelah kereta," soal pengguna Facebook yang berkongsikan video tular berdurasi satu minit 40 saat itu.

Dalam isu penggunaan lampu strob, kenderaan kegunaan persendirian tidak boleh dan tidak dibenarkan bagi memasang alat tersebut.

Menurut kaedah 24 Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Lalulintas Jalan) 1959, hanya kenderaan polis, bomba, ambulans dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dibenarkan mendapat hak haluan di mana-mana jalan raya di dalam negara.

Bagaimanapun, Kaedah 138(1) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (pembinaan dan penggunaan) 1959 menyatakan Ketua Pengarah JPJ Malaysia mempunyai kuasa mengecualikan mana-mana kenderaan daripada mematuhi mana-mana kaedah sedia ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, menyamar, Johor Bahru, Johor, kenderaan, SUV