[VIDEO] Generasi kurang lasak, e-hailing antara punca isu kekurangan tenaga mahir industri automotif


  • Massa
  • Rabu, 24 Mei 2023

Industri automotif kini terbeban dengan isu kekurangan pekerja tenaga mahir. — Gambar Hiasan

PERANCANGAN kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan luar dalam bidang automotif mungkin terencat seandainya isu kekurangan pekerja mahir tempatan tidak dapat diatasi dengan segera.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia akan terus terlibat dalam kerjasama ekonomi kerajaan dengan kerajaan serta menarik lebih banyak syarikat China untuk melabur dalam sektor automotif tempatan.

Namun perancangan itu berdepan cabaran getir dengan isu kekurangan tenaga mahir dalam bidang automotif seperti yang diluahkan pemain industri bidang tersebut.

Memetik laporan media sebelum ini, kebanyakan usahawan automotif terbeban dengan masalah untuk mendapatkan tenaga mahir automotif dan pengetahuan teknologi terkini walaupun potensi bidang itu semakin berkembang.

Malah pada satu peringkat, ramai usahawan automotif yang terbeban terpaksa 'turun padang' bekerja membaik pulih sendiri kenderaan selain menguruskan pentadbiran syarikat.

Mengulas lanjut isu itu, Presiden Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia (Autopro), Abdul Muner Hanafiah berkata, industri automotif sememangnya menghadapi masalah kekurangan tenaga mahir.

Jelasnya, isu itu bukan sahaja dihadapi pengusaha automotif bumiputera, tetapi turut dialami pengusaha bukan bumiputera.

"Antara punca isu tersebut adalah jumlah tenaga mahir tidak mencukupi dan mereka yang belajar dalam bidang ini tidak lasak seperti generasi sebelum ini.

"Ada yang kerja dua tiga tahun kemudian berhenti kerja. Malah ada yang keluar dari bidang automotif untuk buat kerja e-hailing," katanya yang tidak menolak kemungkinan bidang e-hailing lebih fleksibel berbanding automotif.

Beliau berkata demikian kepada Majoriti pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Perodua 3S Kayu Ara Damansara yang mula beroperasi sejak Januari lalu dengan menawarkan perkhidmatan pusat jualan dan servis bagi menampung keperluan pengguna Perodua di kawasan sekitar.

Perodua

Penduduk sekitar Petaling Jaya kini boleh mengunjungi pusat pameran dan servis Perodua 3S di Kayu Ara Damansara.

Bagi mengatasi isu tersebut, Abdul Muner yang juga Pengarah Perodua LON G Setia Auto Sdn Bhd, berkata, pihaknya sentiasa berkolaborasi dengan pusat latihan seperti Giat MARA, kolej komuniti, institut kemahiran dan lain-lain bagi menampung keperluan tenaga kerja.

"Lepas pelajar dapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 2 atau 3, kita akan bagi peluang untuk mereka menjalani latihan amali bersama kita.

"Kemudian selepas tamat latihan amali, kita akan capai kata sepakat untuk serap mereka bekerja. Itu antara kaedah kami untuk atasi isu kekurangan pekerja," katanya.

Mengulas tentang peranan Autopro, Abdul Muner berkata, pihaknya sentiasa membantu kira-kira 250 ahlinya dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk kekal relevan dalam industri automotif.

Jelasnya, selain memberi akses pinjaman hasil kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), MARA dan lain-lain, Autopro juga mengadakan pelbagai aktiviti tahunan termasuk anjuran latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kereta elektrik (EV).

"Kita juga ada menganjurkan aktiviti khidmat bimbingan kepada usahawan automotif yang baharu dan membuat rangkaian dalam kalangan ahli bagi membolehkan mereka menambah ilmu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram