Pemulihan di bawah program Mukhayyam, antara langkah strategik bendung LGBT


  • Primer
  • Selasa, 23 Mei 2023

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar.

PEMULIHAN di bawah program Mukhayyam untuk kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah antara langkah strategik kerajaan untuk membendung penularan 'budaya' itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar berkata, program itu melibatkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta Yayasan Ihtimam Malaysia dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

“Kerajaan melalui Jakim mengambil inisiatif dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Isu LGBT Muslim di Malaysia.

“Jawatankuasa bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun atau mengikut keperluan. Ia dianggotai kementerian, jabatan, agensi dan NGO yang akan menyelaraskan isu LGBT berbangkit dalam kalangan umat Islam dalam aspek pendidikan dan advokasi, dakwah dan bimbingan serta penguatkuasaan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Ahmad bertanya tentang langkah strategik menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam membendung normalisasi budaya LGBT di Malaysia.

Mohd Nai’m juga berkata, beberapa agensi lain seperti Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan terlibat dalam pendidikan, pencegahan dan pembelaan terhadap budaya LGBT.

“Antara program itu ialah webinar isu sosial melibatkan belia anjuran Jakim dan kementerian belia, seminar isu sosial Jakim dan Komuniti Dakwah dan Tarbiah, dan Program Sihat Tanpa AIDS Remaja 2.0 oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan telah menjalankan penyelidikan untuk mengkaji kumpulan itu serta kaedah penguatkuasaan undang-undang.

Mohd Na’im berkata walaupun budaya LGBT tidak boleh diterima di sisi undang-undang, kerajaan tidak mendiskriminasi hak asasi kumpulan itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram