[VIDEO] Kait nama Hamzah dalam kes rasuah tak ubah seperti ‘tak dapat tanduk, telinga ditarik’


  • Politik
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Ahmad Ikhwan (dua dari kanan) dan Wan Ahmad Fayhsal (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi pada Jumaat.

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Jumaat membuat satu laporan polis bagi membersihkan nama Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada pertuduhan kes rasuah.

Laporan itu dibuat oleh Setiausaha Sulit Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ahmad Ikhwan Fadhli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Ahmad Ikhwan berkata, Hamzah dikaitkan dengan empat pertuduhan rasuah membabitkan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diterajuinya sebelum ini.

Malah tegasnya, ketua pembangkang itu langsung tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung fakta-fakta dalam pertuduhan tersebut.

"Beliau sebenarnya tidak tahu apa projek yang menjadi hal dalam pertuduhan tersebut, malah pertuduhan dalam keempat-empat kes hanya menyatakan secara rambang apa-apa projek milik agensi di bawah KDN," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pada 10 Mei lalu, seorang ahli perniagaan, Sim Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM15 juta daripada rakan perniagaan untuk mendapatkan projek daripada KDN.

Choo Thiam didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Hamzah turut mengesahkan beliau dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes pendakwaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, tindakan itu jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Berdasarkan aduan yang dibuat, Hamzah dilaporkan sama sekali tidak mengetahui akan projek yang dimaksudkan di bawah KDN yang dikaitkan antara beliau dengan ahli perniagaan yang didakwa itu.

Katanya, terdapat sembilan agensi penguat kuasa di bawah KDN dan Setiausaha Agung Bersatu berkenaan tidak tahu projek yang dikaitkan.

"Ingin dijelaskan bahawa Hamzah sama sekali tidak mengenali dan bertemu Hep Kim Hong yang memberi suapan kepada ahli perniagaan yang dituduh.

Ahmad Ikhwan menjelaskan, tujuan utama laporan polis itu dibuat adalah untuk menggesa pihak polis menyiasat mana-mana pihak yang mencampuri keputusan atau menekan SPRM atau badan kerajaan untuk mengaib atau mencemarkan nama baik Hamzah dalam pertuduhan yang telah disebut di mahkamah pada Rabu lepas.

"Laporan ini juga dibuat untuk membersihkan nama Hamzah daripada sebarang tindak tanduk yang tidak wujud dan berlaku langsung," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram