SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki terlibat merakam adegan amang seksual fizikal membabitkan ibu dan anak lelakinya berusia 14 tahun di Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, suspek yang bekerja sendiri itu ditahan Jumaat lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati lelaki berumur 25 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pemerasan dan rogol.
"Kita turut merampas telefon bimbit suspek yang disyaki digunakan untuk merakam hubungan dua beranak berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Pada 4 Mei lepas, seorang ibu direman bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.
Sementara itu, Ramli berkata, lelaki berkenaan juga diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual anak perempuan kepada wanita terbabit yang berusia 15 tahun.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, yang mengesahkan perkara itu berkata kes berkenaan telah dilaporkan pada 8 Mei lepas dan lelaki itu diperlukan bagi membantu siasatan kes. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram