KEBELAKANGAN ini, banyak isu melibatkan Kementerian Pertahanan dilihat tular di media sosial.
Antaranya termasuk tindakan sekumpulan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengadakan perhimpunan secara aman demi menegakkan hak veteran termasuk pencen di Tugu Negara pada Isnin.
Terbaharu, kecoh di laman sosial mengenai kelengkapan latihan ketenteraan institusi itu apabila seorang pengguna Twitter, amuzulhel memuatnaik semula sebuah video Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menegur secara terus menteri-menteri yang gagal mengotakan janji untuk menaiktaraf kelengkapan latihan tentera.
Dakwa pengguna Twitter itu, video berkenaan dirakam pada sebuah upacara rasmi ketenteraan pada 2017 yang mana Sultan Ibrahim menegur dan mempersoal bekas menteri ketika itu dengan ayat 'Mana janji-janji Datuk?’
Rakaman video Sultan Ibrahim menegur beberapa menteri pada 2017 kini kembali ditularkan warganet.
"Saudara-saudari sekalian, semenjak saya menjadi Kolonel Komandan Regimen Gerak Khas tujuh tahun yang lalu, saya telah dengar banyak janji-janji yang ditaburkan oleh menteri, timbalan menteri dan ketua angkatan tertinggi tentera. Namun malangnya sehingga ke hari ini masih ada janji-janji yang belum ditunaikan.
"Pada hari ini saya nak tanya lagi, mana diving pool ataupun kolam renang untuk latihan meyelam yang sepatutnya dibina di kem ini. Malah saya juga dijanjikan sebuah istana yang dijanjikan untuk dibina dalam kem iskandar. Bayangnya pun saya belum nampak. Saya rasa bekas menteri pertahanan masa itu, kalau tidak silap saya, (tidak jelas) Latiff. Mana janji-janji Datuk?
“Saya harap pemimpin yang ada pada hari ini akan bertanggungjawab untuk mengotakan janji-janji yang telah dibuat,” titah baginda Sultan Johor sambil disambut sorakan sokongan, “Betul-betul." dalam video tular yang berdurasi dua minit dua saat itu.
Pengguna Twitter berkenaan memaklumkan, sejurus Sulan Ibrahim menegur barisan menteri pada waktu itu, peruntukan khas untuk menaik taraf kelengkapan tentera sebanyak RM50 juta telah disediakan kepada Grup Gerak Khas (GGK).
Sehubungan dengan itu, meskipun titah berkenaan telah lama diperkatakan, namun warganet mendakwa masalah tersebut masih berlanjutan sehingga ke hari ini.
Malah, bagi mereka hanya individu seperti Sultan mampu menegur segelintir menteri yang hanya tahu menabur janji tapi lambat mengambil sebarang tindakan.
Dalam perkembangan berkaitan, tuntutan veteran ATM termasuk pencen bukan hanya melibatkan Kementerian Pertahanan, sebaliknya banyak pihak lain lebih-lebih lagi jika ia berkait rapat dengan kemampuan atau kewangan negara, lapor Bernama.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun berjanji akan meneruskan agenda membela veteran ATM dan tuntutan mereka akan diberi perhatian sewajarnya.
"Jumlah veteran ATM mencecah 300,000 di seluruh negara, apa jua pertimbangan untuk membela veteran ini perlu diambil peduli kerana jumlah mereka yang besar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ‘23) di Auditorium Kementerian Pertahanan di ibu negara pada Rabu.
Beliau mengulas perhimpunan kira-kira 1,000 veteran ATM dari seluruh negara di Tugu Negara pada Isnin bagi menyuarakan tuntutan supaya kerajaan membela kebajikan mereka.
Tuntutan itu melibatkan penyelarasan dan pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen serta membuka ruang untuk pengampunan kepada mereka supaya dapat menerima pencen selain diiktiraf sebagai veteran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram