
KONTRAKTOR yang menyalahgunakan pili bomba di Rantau Panjang, Kelantan telah dikenakan notis kompaun RM100.
Perkara itu dimaklumkan Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam satu kenyataan pada Khamis yang merujuk kepada dakwaan penyalahgunaan pili bomba dikaitkan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
“Susulan siasatan, disahkan... tindakan (telah diambil) untuk mengeluarkan kompaun terhadap pelaku berdasarkan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (kerana) menyalahgunakan pili bomba.
“Status kes ini ialah ia telah diselesaikan di luar mahkamah, di mana pesalah iaitu kontraktor terbabit, Tuan Salehudin Tuan Mat mengaku bersalah dan membuat bayaran kompaun sebanyak RM100 pada 8 Mei lalu,” katanya.
Kenyataan itu menambah bahawa mengikut Seksyen 26 Akta, sesiapa yang menutup, mengelilingi atau menyembunyikan mana-mana pili bomba yang menyebabkan lokasinya sukar untuk dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain daripada untuk tujuan memadam kebakaran, adalah melakukan satu kesalahan.
"Kami juga ingin menegaskan bahawa Seksyen 23 (1) Akta itu menerangkan notis untuk kerja yang menjejaskan pili bomba; di mana tiada orang selain daripada pihak berkuasa air boleh melakukan apa-apa kerja menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya melainkan mereka memberi notis bertulis mengenai kerja itu kepada pengarah negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum dimulakan.
"Dalam kecemasan, kerja boleh dijalankan terlebih dahulu dan notis mesti diserahkan segera kepada pengarah negeri," katanya.
Kontraktor terbabit dikenakan kompaun berdasarkan Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 kerana menyalahgunakan pili bomba. — Gambar hiasan
Ia menambah, Seksyen 24 Akta itu juga menyatakan adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa pengurusan air untuk memberitahu pengarah negeri mengenai sebarang tindakan menjejaskan aliran kepada pili bomba secara bertulis sebaik keputusan untuk mengambil tindakan sedemikian dibuat.
Jelasnya, sebarang kerja yang menjejaskan aliran air ke pili bomba perlu mendapat kelulusan bertulis daripada pengarah negeri.
“Ini bagi memastikan operasi memadam kebakaran tidak terjejas sekiranya kebakaran berlaku.
“Penyalahgunaan pili bomba boleh mengakibatkan kekurangan isipadu air dan tekanan.
"Jabatan menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan air daripada (a) pili bomba sebagai penyelesaian kepada kekurangan air di sesuatu kawasan," katanya.
Pada 7 Mei lalu, Siti Zailah dilaporkan tidak meminta kebenaran untuk mengambil air daripada pili bomba terbabit.
Majoriti melaporkan bahawa Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan kebenaran penggunanaan pili bomba terbabit.
Siti Zailah sebeum itu mendakwa pihak bomba Rantau Panjang telah meluluskan permintaannya untuk mengambil air dari pili bomba untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
Katanya, jabatan itu sebelum ini pernah menyalurkan air ke premis seperti surau dan sekolah yang memerlukan air.
“Tiada isu curi air, kita bantu orang yang memerlukan air segera.
"Air itu milik Air Kelantan dan kami mendapat kebenaran daripada mereka," dakwanya dalam catatan Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,