'Berderai air mataku', Siti Zailah up catatan meruntun emosi, tetap gigih bantu rakyat


  • Primer
  • Isnin, 08 Mei 2023

Siti Zailah sebelum ini mendakwa beliau sudah pun mendapatkan kebenaran daripada pihak Bomba Rantau Panjang dan AKSB untuk mengeluarkan air bagi membantu rakyat yang terjejas. —Facebook

"BERDERAI air mata ku melihat apabila usaha dan doa kami dimakbulkan ALLAH. Semoga air ini menjadi saksi dan bukti kepada rakyat seluruhnya, keikhlasan kami untuk membantu mereka.

Demikianlah reaksi Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang menzahirkan rasa lega dan bersyukur kerana usaha pihaknya menggali air membuahkan hasil.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu terdahulu memuat naik satu video yang memaparkan pihaknya menggali lubang menggunakan mesin untuk mengeluarkan air di sebuah lokasi berdekatan Surau Taman Rantau Mas, Rantau Panjang, Kelantan.

"Alhamdulillah. Setelah digali sedalam 150 kaki, keluar air jernih dari telaga tiub yang baru digali di Surau Taman Rantau Mas, Rantau Panjang.

"InsyaALLAH dapat dimanfaatkan kepada seluruh penduduk sekitar," katanya pada Isnin.

Pada Ahad, Siti Zailah berkata dia mendapat kebenaran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi menghantar bekalan air ke kampung-kampung yang memerlukan dengan kerjasama Balai Bomba Rantau Panjang.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zainal Madasin menafikan kebenaran diberikan pihaknya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Siti Zailah sedang disiasat atas dakwaan mengambil air dari pili bomba.

Ini berikutan hantaran di Facebook ahli parlimen PAS itu bulan lalu yang memaparkan dia aktif mengusahakan bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk.

Ini termasuk gambar yang dimuat naik menunjukkan sebuah lori sedang mengambil air daripada pili bomba sambil diperhatikan ahli parlimen berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram