Wanita misteri pengsan lihat 6 rumah musnah terbakar di Tawau


  • 112
  • Rabu, 21 Sep 2022

Bomba sedang memadam api yang memusnahkan enam buah rumah di Tawau, Sabah. — Sinar Harian

KEBAKARAN membabitkan enam rumah berlaku pada kira-kira pukul 9.30 pagi di Lorong Haji Sundu, Jalan Apas Batu 2, di Tawau, Sabah pada Rabu telah membuatkan seorang wanita pengsan kerana terlalu terkejut.

Wanita yang tidak diketahui identitinya itu telah dihantar ke Hospital Tawau oleh pihak polis bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran itu pada pukul 9.37 pagi.

Katanya, seramai 17 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Tawau.

"Kebakaran membabitkan enam rumah jenis separuh kekal di mana dua daripadanya terbakar 100 peratus manakala empat lagi terbakar 30 peratus. Turut terbakar sebuah masjid dan sebuah kenderaan.

"Terdapat juga seorang wanita pengsan di lokasi kejadian difahamkan akibat trauma, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa pemilik salah sebuah rumah atau bukan," katanya ketika dihubungi media.

Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan tangki pam jentera dan pili bomba.

"Bomba Komuniti Titingan turut melakukan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada pukul 9.57 pagi sebelum ditamatkan kira-kira sejam kemudian," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram