
PEJABAT Perdana Menteri (PMO) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengarah Media dan Komunikasi Strategik, Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Menerusi kenyataan pada Jumaat, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik memaklumkan pihaknya akan terus komited memastikan agenda Malaysia MADANI serta penyampaian maklumat berkaitan segala usaha dan inisiatif Kerajaan Perpaduan terus diperkasa.
Dalam perkembangan lain, menurut sumber PMO, peletakan jawatannya secara mengejut itu adalah atas inisiatif media untuk menyebarkan tema Malaysia Madani Kerajaan Persekutuan dan dakwaan berlakunya percanggahan dengan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Katanya, setakat ini, tidak diketahui siapa yang akan menggantikan posisi beliau.
Pada Khamis, Majoriti turut melaporkan mengenai seorang pegawai kanan terbabit yang dikatakan memberi notis berhenti kerja 24 jam.
Malahan, tindakan menghubungi Ketua Pengarah J-KOM di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff tidak mendapat sebarang penjelasan kerana beliau enggan memberi sebarang komen kerana beliau di bawah jabatan lain.
"Saya tak ada apa nak komen, saya tak tahu dan kami berlainan jabatan.
"Setakat ini saya memang tak tahu tentang hal yang diperkatakan jadi saya enggan mengulas lanjut berkenaan status beliau, apa-apa kita tunggu dan lihat," ujarnya kepada Majoriti.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram