Mayat pemilik klinik diikat guna kabel sebelum disumbat dalam beg, 6 suspek kena cekup di Kajang dan Ampang


  • 112
  • Selasa, 02 Mei 2023

Hussein (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam pada Selasa.

ENAM individu ditahan berhubung kes penculikan dan pembunuhan seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun di Kajang, Selangor.

Suspek dipercayai turut memeras ugut RM20,000 daripada syarikat mangsa melalui pemindahan dalam talian.

Dalam kes tersebut, tangan dan leher mangsa diikat dengan wayar kabel sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam bagasi dan dibuang di kawasan pinggir Hulu Langat, Selangor kira-kira 27 meter (m) dari jalan utama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa yang memiliki rangkaian klinik itu diculik pada 26 April lalu selepas bertemu kenalan perniagaan di sebuah restoran di Semenyih.

“Rakan serumah mangsa sebelum itu membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang pada 26 April lalu bahawa mangsa hilang selepas perjumpaan perniagaan.

“Seterusnya, rakan serumah itu menerima permintaan mencurigakan kononnya daripada mangsa sebanyak RM200,000 untuk dipindahkan pada hari yang sama yang mana RM20,000 telah dipindahkan ke akaun bank syarikat tidak dikenali,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Hussein berkata, telefon bimbit mangsa tidak dapat dihubungi selepas permintaan pemindahan dana tersebut.

“Siasatan menyebabkan polis menahan seorang lelaki berusia 40-an kira-kira pukul 4 petang pada 27 April lalu serta dua lagi lelaki dan dua wanita di Kajang dan Ampang.

“Kami turut merampas lebih 10 telefon bimbit dan sebuah komputer riba,” katanya.

Hussein berkata, seorang daripada suspek membawa polis kepada penemuan mayat mangsa yang dimasukkan ke dalam bagasi dan dibuang di kawasan pinggir Hulu Langat beberapa hari selepas tangkapan.

“Tangan dan leher mangsa diikat dengan wayar kabel.

“Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah kecederaan dalaman akibat sesak nafas,” katanya.

Menurut Hussein, suspek utama dipercayai bercadang memeras ugut mangsa untuk mendapatkan wang selain membunuhnya pada hari sama dia diculik.

“Suspek utama berusia lewat 30-an mempunyai masalah dadah dan kewangan.

“Dia adalah kenalan mangsa yang telah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah dan kliniknya,” ujar beliau.

Hussein berkata, mangsa adalah pemegang PhD dengan rangkaian klinik dan pemilikan hartanah.

“Kita turut menahan rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan.

“Secara keseluruhannya, enam individu telah ditahan berhubung kes itu,” tambahnya.

Hussein turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat untuk menghubungi polis secepat mungkin. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram