Budak 4 tahun mati didera, dibelasah guna 'hanger' oleh ibu kandung, bapa tiri di JB


  • 112
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Kanak-kanak tersebut maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tiri di Johor Bahru, Johor pada Jumaat. — Gambar hiasan

HAYAT seorang kanak-kanak lelaki seorang kanak-kanak lelaki tidak panjang apabila maut dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tiri di Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kanak-kanak berusia empat tahun tersebut disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah kira-kira pukul 8.20 pagi.

"Terdapat kecederaan di kepala mangsa, di belakang kedua-dua telinganya, perut dan kedua-dua kakinya. Pasangan tersebut dipercayai mencederakan mangsa menggunakan tangan dan penyangkut pakaian (hanger).

"Susulan itu, sepasang suami isteri yang merupakan ibu kandung dan bapa tiri mangsa ditahan di rumah mereka di Jalan Aman, Skudai pada 1.30 tengah hari (Jumaat)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pasangan suami isteri terbabit yang masing-masing berusia 20-an juga mengaku terlibat dalam kes berkenaan.

Selain itu, Rahmat berkata, lelaki terbabit yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala wanita yang sedang mengandung dua bulan, juga mempunyai seorang anak lelaki berusia enam bulan.

Turut dirampas sebuah telefon dan beberapa peralatan termasuk penyangkut pakaian dipercayai digunakan untuk mendera mangsa, katanya.

"Kedua-dua individu berkenaan direman dengan lelaki tersebut direman selama tujuh hari mulai Sabtu sehingga Jumaat depan, manakala wanita berkenaan direman dua hari sehingga Ahad," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak, yang boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengesan saksi dan bukti lain bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram