PM Anwar lawat Musa Hitam, sempat tukar pandangan isu semasa


  • Primer
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Anwar (kiri) ketika menziarahi Musa pada Khamis. — Facebook/AnwarIbrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa pada Khamis bagi menziarahi bekas pemimpin negara, Tun Musa Hitam yang baru selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.

Pada pertemuan tersebut, Anwar berkata, beliau turut sempat bertukar pandangan berhubung pelbagai isu semasa bersama Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri.

“Alhamdulillah diberi kesempatan untuk menziarahi Mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan keluarga.

“Kami berdua sempat bertukar pandangan terkait pelbagai isu mutakhir ini,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebooknya.

Anwar pada hantaran tersebut turut mendoakan agar Musa diberi kesihatan berpanjangan di samping keluarga.

Musa, 89, baru-baru ini dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan otak selepas terjatuh ketika berkebun.

Berita itu dikongsikan bekas pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Nazir Razak yang melawat Musa selepas pemimpin itu menjalani pembedahan di hospital. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram