Jangan panik atau keliru, MAIS sangkal arah kiblat masjid, surau di Selangor tersasar


  • Massa
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Abdul Aziz berkata badan itu turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi. — Bernama

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan arah kiblat masjid dan surau sedia ada di negeri itu disemak dan diperakukan tepat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan pada Jumaat berkata, badan itu turut mewajibkan agar penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu masjid, surau atau musolla yang baharu mula beroperasi.

Beliau berkata, Jabatan Mufti negeri itu juga sentiasa memberikan pencerahan dan hebahan dari semasa ke semasa berhubung kaedah penetapan arah kiblat kepada masyarakat melalui laman web serta media sosial atau program pencerahan yang dilaksanakan jabatan itu.

"Penentuan arah kiblat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berhubung Had Berpaling Yang Dibenarkan Daripada Arah Qiblat.

"Isu berhubung penentuan arah kiblat juga mendapat perhatian serius Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak mahu mana-mana pihak termasuk media membuat laporan kurang tepat yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat dan mencalarkan imej Islam," katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi memetik laporan Berita Harian bertarikh 24 April lepas yang menyatakan '40 peratus arah kiblat Lembah Klang tersasar', berdasarkan pernyataan daripada Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS).

Katanya, tajuk laporan akhbar tersebut kurang tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar serta menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam khususnya di Selangor, dan MAIS telah meminta penjelasan berhubung perkara tersebut daripada pihak PAFNS.

Beliau berkata, MAIS juga menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan keliru dengan tajuk yang dipaparkan dalam laporan akhbar tersebut dan diingatkan agar merujuk terus kepada pihak MAIS berhubung pengesahan sesuatu perkara berkaitan pentadbiran agama Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram