
USAHA dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di Khartoum sedang giat dilakukan.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.
"Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.
"Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan," katanya ketika dihubungi BERNAMA TV pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.
Sebelum ini, beliau memaklumkan Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara tersebut.
Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.
Dr Zambry bercakap kepada pemberita berkaitan situasi terkini di Sudan pada sidang media di Wisma Putra, Putrajaya pada Isnin. — Foto/Bernama
Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.
Pada Jumaat, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.
Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa Mesir pada Ahad memindahkan 436 rakyatnya dari Sudan dengan menggunakan laluan darat, menurut Kementerian Luar Mesir.
Misi diplomatik Mesir di Khartoum, Pelabuhan Sudan dan Wadi Halfa akan terus berkoordinasi dengan warga Mesir di Sudan untuk memastikan proses pemindahan mereka berjalan lancar, lapor Xinhua.
Setakat ini, kira-kira lebih 10,000 rakyat Mesir dilaporkan berada di Sudan.
Kepulan asap di Omdurman, berhampiran Jambatan Halfaya, semasa pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas Paramiliter dan tentera seperti yang dilihat dari utara Khartoum, Sudan pada15 April 2023. — Agensi.
Sejak bermulanya konflik di Sudan pada 15 April lalu, syarikat penerbangan Mesir EgyptAir menangguhkan penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.
Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) masih berlarutan di Khartoum dan beberapa bandar berdekatan.
Menurut Kementerian Kesihatan Sudan, pertempuran terbabit menyebabkan sekurang-kurangnya 424 orang terbunuh dan kira-kira 3,730 lagi cedera.
Sementara itu, Kementerian Luar Tunisia mengumumkan pada Ahad bahwa pemindahan rakyatnya dari Khartoum akan bermula pada Isnin.
Di Accra, menurut Kementerian Luar Ghana, persiapan sedang diatur untuk memindahkan warga Ghana yang terkandas di Sudan.
"Sebilangan warga Ghana, khususnya pelajar telah terjejas akibat konflik itu. Namun kesemua mereka dilaporkan selamat," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di Rom, Menteri Luar Itali Antonio Tajani berkata, orang awam dan diplomat Itali yang mahu meninggalkan Sudan sudah pun dibawa keluar dari Khartoum menuju ke Djibouti, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Saya bangga dengan kerja berpasukan yang membawa kepada kejayaan operasi pemindahan yang rumit itu," katanya menerusi satu ciapan di Twitter.
Tajani sebelum ini mengumumkan pemindahan kira-kira 200 orang awam dan kakitangan kedutaan termasuk rakyat Switzerland, pekerja kedutaan Vatican dan kira-kira 20 lagi warga Eropah.
Sementara itu, kerajaan Sepanyol juga sudah memindahkan rakyat dan diplomatnya, kata Menteri Luar Jose Manuel Albares.
"Kami mengulangi gesaan untuk gencatan senjata dan menyambung semula dialog di Sudan," ciapnya di Twitter.
Menteri Pertahanan Margarita Robles sebelum ini berkata bahawa Sepanyol merancang untuk menempatkan sejumlah enam pesawat sebagai sebahagian daripada operasi pemindahan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram