HARI pertama sambutan Aidilfitri di Khartoum, Sudan pada Jumaat terganggu dengan serangan tembakan, bedilan bom dan pelancaran roket.
Pertempuran antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) terus sengit apabila kedua-dua pihak mencabuli perjanjian gencatan senjata selama tiga bagi menghormati kedatangan Syawal.
Pertempuran memasuki hari keenam itu menyaksikan, pertumpahan darah yang telah meragut lebih 400 nyawa.
Memetik laporan media antarabangsa, Middle East Eye (MEE), penduduk di ibu kota Khartoum dan bandar Omdurman itu dikatakan takut untuk keluar dari rumah susulan ancaman serangan yang sedang berlaku.
Pada masa sama, media turut melaporkan, kebanyakan kedai di kawasan berkenaan kehabisan barangan keperluan asas.
Seorang penduduk kejiranan Al-Taif di timur Khartoum, Aziz Syed Ahmed berkata, kebanyakan penduduk di kawasan itu sudah melarikan diri ke lokasi lebih selamat seperti Al-Jazirah dan Sungai Nil.
Pertempuran antara SAF dan RSF turut menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum. — Agensi
“Mereka keluar pagi ini (Sabtu) untuk menunaikan solat Aidilfitri namun selepas sejam, serangan RPG dan mortar terus dilakukan tanpa henti,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, sekurang-kurangnya 413 orang terbunuh dan 3,551 cedera dalam pertempuran itu.
Al-Taif kini berada di bawah kawalan RSF, diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, yang turut dikenali sebagai Hemeti.
Pertempuran di Sudan tercetus sejak 15 April lalu dan meragut ratusan nyawa. — Agensi
Kekurangan bekalan makanan
Dalam perkembangan lain, seorang wartawan yang tinggal di Abu-Rof, Timur Omdurman, Tasneem Al-Fateh berkata, penduduk di kawasan berkenaan terpaksa berkurung di rumah kerana khuatir terkena serangan peluru sesat.
Malah keadaan mereka kini dikatakan makin parah apabila bekalan makanan semakin berkurangan.
Dia menambah, kebanyakan kedai tidak mempunyai produk tenusu, seperti yogurt dan susu, manakala nasi dan lentil turut kehabisan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram