[VIDEO] Cinta ditolak punca lelaki bakar kedai telefon di Teluk Intan


  • 112
  • Ahad, 16 Apr 2023

Tangkap layar rakaman tular berkenaan perbuatan lelaki tersebut yang dilihat memegang bekas petrol sebelum mula membakar kedai tersebut.

BERANG cintanya ditolak, seorang lelaki tergamak membakar sebuah kedai menjual telefon pintar sehingga kerugian kira-kira RM100,000 di Langkap dekat Teluk Intan, Perak pada petang Sabtu.

Ketua Polis Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, anggota Balai Polis Langkap menerima laporan kejadian pada pukul 3.19 petang daripada seorang wanita berusia 46 tahun yang bekerja di kedai telefon berkenaan.

Beliau berkata, dalam laporannya wanita berkenaan menyatakan lelaki berusia 54 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu datang ke premis itu pada pukul 2.30 petang lalu mengamuk sehingga mencederakannya serta melemparkan kata-kata berunsur lucah.

Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu turut mengancam keselamatan wanita itu dengan mengugut akan membakar wanita berkenaan dan premis itu.

WhatsApp Image 2023-04-16 at 5.01.19 PM (1)

Keadaan kedai telefon terbabit selepas bomba berjaya memadamkan kebakaran yang berlaku pada Sabtu. — Facebook

"Disebabkan terlalu takut, wanita berkenaan bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan. Semasa laporan dibuat, kedai tempat wanita itu bekerja yang juga milik adiknya telah dilaporkan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Adnan berkata kebakaran di premis itu berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan kerugian akibat kejadian dianggar lebih kurang RM100,000.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, lelaki itu dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai berkenaan.

Menurut Ahmad Adnan motif kejadian dipercayai berpunca akibat cinta lelaki itu ditolak wanita berkenaan.

Lelaki itu beberapa bulan kebelakangan ini sering kali datang ke kedai itu dalam keadaan mabuk serta cuba memikat wanita berkenaan namun wanita itu menolak dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

"Semasa tangkapan dijalankan, lelaki itu didapati melecur di bahagian muka, tangan dan kaki. Lelaki itu ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya sambil menambah lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan.

Ahmad Adnan berkata lelaki itu direman lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram