[VIDEO] Suspek pecah cermin rumah di Ipoh rupanya bekas suami, positif dadah


  • 112
  • Khamis, 06 Apr 2023

Tangkap layar suspek memecahkan cermin pintu bekas isterinya menggunakan sebatang kayu.

POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung rakaman klip video mengenai perbuatan khianat memecahkan cermin sebuah rumah di Taman Pinji Indah, Ipoh, Perak yang tular di media sosial sejak sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, hasil semakan terhadap laporan polis dibuat pengadu pada Selasa mendapati suspek yang menceroboh dan melakukan perbuatan khianat merupakan bekas suami pengadu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan melibatkan pencerobohan jenayah.

Justeru, Yahaya berkata, siasatan polis pada Rabu menghasilkan tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun di Taman Ipoh, Perak yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kes tersebut.

"Keputusan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap suspek ini turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek akan direman pada 6 April (hari ini) untuk membantu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Yahaya berkata, dengan tertangkapnya suspek berkenaan, maka kes itu diselesaikan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video tersebut sehingga menjejaskan siasatan pihak polis mahupun mendatangkan kegusaran terhadap masyarakat.

Pada Rabu, polis mengesan satu video berdurasi 25 saat yang tular melalui laman Twitter menerusi akaun ‘nan manjoi8715’ memaparkan kejadian seorang lelaki melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah rumah di Taman Pinji Indah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram