"Saya mahu maklumat', Loke arah siasatan penuh kes kontena Malaysia angkut 336kg heroin ke Australia


  • Primer
  • Selasa, 11 Apr 2023

Bungkusan heroin yang dirampas oleh Polis Persekutuan Australia pada Mac lalu. — Facebook/PolisPersekutuanAustralia

SIASATAN penuh akan dilaksanakan berhubung kes rampasan 336 kilogram (kg) dadah jenis heroin dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia yang dikesan pihak berkuasa Australia, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata , butiran penuh mengenai insiden tersebut telah pun diminta termasuk terhadap pelabuhan yang digunakan bagi menghantar keluar barangan tersebut.

“Saya tiada butiran kes itu tetapi saya mahukan maklumat. Kami akan... jalankan siasatan.

"Kami ingin mengetahui dari mana datangnya (dadah berkenaan)," katanya pada Selasa

Loke berkata, kementerian memandang serius kes tersebut yang pelabuhan Malaysia digunakan untuk menghantar barangan terlarang termasuk dadah.

"Kita mahu jawapan mengapa ini berlaku dalam had pelabuhan kita," tambah beliau.

dadah 2

Dadah yang dirampas itu disorokkan di dalam blok simen pada kontena tersebut. — Facebook/PolisPersekutuanAustralia

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa Polis Persekutuan Australia merampas 336kg narkotik di Brisbane, Australia pada bulan lepas.

Dadah itu, dianggarkan bernilai RM789.56 juta dan disembunyikan di dalam blok simen pada kontena penghantaran dari Malaysia.

Ia sampai ke Australia pada 13 Mac lalu.

The Australian Associated Press melaporkan pada 6 April lalu bahawa rampasan itu merupakan tangkapan heroin kedua terbesar di negara itu.

Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan selepas dia didakwa mengambil dan mengangkut heroin itu ke Mount Druitt, Sydney. — The Star

Anthony Loke, dadah, kontena, Australia, polis