Penuhi ketetapan RCI, pengumuman agihan dividen Tabung Haji dijangka lewat


  • Primer
  • Selasa, 04 Apr 2023

Pada tahun lalu, pengumuman berhubung perkara itu dilakukan pada 24 Februari 2022.

TARIKH pengumuman dan semakan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2022 dijangka sedikit lewat berbanding tahun lepas, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia berikutan agihan dividen hanya boleh dibuat selepas audit bersih dilaksanakan.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat...ia agak lewat sedikit kerana laporan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memerlukan TH untuk mengumumkan agihan dividen setelah audit bersih dibuat.

"Jadi ia mengambil sedikit masa untuk membuat pengumuman tarikh (agihan dividen) berbanding tahun lepas,” katanya sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) di Dewan Negara.

Ia bagi menjawab celahan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin mengetahui tarikh pengumuman dividen TH pada tahun ini.

WhatsApp Image 2023-04-04 at 5.46.25 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pada tahun lalu, pengumuman berhubung perkara itu dilakukan pada 24 Februari 2022.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, kerajaan sangat komited dan optimis dalam melahirkan huffaz yang berkualiti dengan merangka pelbagai strategi selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dilancarkan pada 2018.

Menurutnya, berdasarkan data Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, rekod sehingga Februari 2023 mencatatkan seramai 10,675 huffaz dilahirkan dengan 2,102 daripadanya huffaz profesional daripada lapan buah institusi pengajian tinggi.

"Kerajaan juga membina pelan tindakan DPTN yang mengandungi 20 strategi dan 32 inisiatif berpandukan kepada lima teras, antaranya memantapkan undang-undang dan penguatkuasaan; mewujudkan model insitusi tahfiz serta mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

TH, dividen, pengumuman, huffaz, profesional