[VIDEO] 'Terharu RMS datang ke tempat saya', pengasas rumah kebajikan di Rasa tak sangka terima tetamu diraja


  • Massa
  • Selasa, 04 Apr 2023

Tengku Amir Shah (kanan) berkenan memasang almari bagi kegunaan penghuni Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah di Taman Keruing, Rasa, Selangor.

"TERHARU sangat bila Raja Muda Selangor datang ke tempat saya. ALLAH sahaja yang tahu besarnya hati saya bila baginda nak datang sini."

Demikian reaksi Pengasas Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah, Asma Norddin yang terharu selepas menerima kunjungan daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah di rumah kebajikan anak yatim dan asnaf tersebut di Taman Keruing, Rasa, Selangor pada Selasa.

Tengku Amir Shah mencemar duli ke Program Ziarah Ramadan 2023 anjuran Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan Raja Muda Selangor untuk menyampaikan sumbangan daripada syarikat Worldwide Holdings Berhad dan Starvilion di premis berkenaan.

Bukan itu sahaja, Asma berkata putera raja itu turut berkenan memasang dua almari bagi kegunaan penghuni di pusat kebajikan tersebut.

"Hari ini kami juga mendapat sumbangan dalam bentuk cek bernilai RM3,500, bantuan baik pulih dan kotak makanan ruji bernilai RM100 daripada Worldwide Holdings Berhad.

"Selain itu, anak-anak yatim dan asnaf di sini juga dapat sepasang baju raya tajaan Starvilion," katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Ramadan 2023 di Pertubuhan Kebajikan Ar Rahmaniah, Taman Keruing, Rasa, Selangor pada Selasa.

IMG_20230404_153519_268

Tengku Amir Shah (kanan) menyampaikan cek sumbangan Worldwide Holdings Berhad kepada Asma (kiri) dalam program Ziarah Ramadan di Pertubuhan Kebajikan Ar-Rahmaniah, Taman Keruing, Rasa, Selangor pada Selasa.

Dalam program sama, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan daripada syarikat Worldwide Holdings Berhad bernilai RM40,000 meliputi RM400 wang tunai, kotak makanan ruji bernilai RM100 dan bantuan baik pulih rumah sebanyak RM1,5000 kepada empat keluarga asnaf terpilih di sekitar Hulu Selangor.

Selain itu, 10 unit kerusi roda bernilai RM7,000 juga disampaikan kepada Persatuan Bekas Polis Negeri Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata jumlah sumbangan RM40,000 tersebut adalah sebahagian daripada RM200,000 yang disumbangkan kepada Yayasan Raja Muda Selangor tahun ini.

"Pihak Worldwide Holdings Berhad bekerjasama dengan Yayasan Raja Musa Selangor sejak 17 tahun lalu bagi menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Saya akan meneruskan program seperti ini dan kami harap pihak Yayasan Raja Muda Selangor dapa menepati kriteria program CSR yang kami tetapkan bagi membantu asnaf-asnaf di Selangor," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram