[VIDEO] Bomba, polis dikerah selamatkan 2 lelaki terperangkap dalam bank di Mersing


  • 112
  • Ahad, 02 Apr 2023

Dua lelaki terbabit yang terperangkap kira-kira setengah jam di ruangan ATM sebuah bank, di Mersing pada tengah malam Ahad. — Facebook/PolisDaerahMersing

DUA lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap kira-kira setengah jam di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank, di Mersing pada tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superitendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.10 tengah malam selepas pintu automatik (roller shutter) bank berkenaan tertutup.

Susulan itu, beliau berkata, Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamatkan mangsa.

"Bagaimanapun, pintu itu telah dibuka oleh kakitangan bank berkenaan kira-kira 30 minit kemudian dan kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Abdul Razak turut menasihati orang ramai agar peka dan mematuhi notis yang dikeluarkan mana-mana institusi perbankan mengenai waktu operasi dan amaran mengenai tempoh masa pintu yang ditutup secara automatik.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 18 saat dalam media sosial yang memaparkan dua lelaki terperangkap di dalam bank berkenaan dengan kehadiran beberapa anggota polis dan JBPM di pekarangan bank itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram