
NESTLE Products Sdn. Bhd. menafikan bahawa syarikat itu menawarkan Peraduan MILO Ramadan yang memerlukan orang ramai untuk melengkapkan borang soal selidik bagi memenangi hadiah wang tunai seperti tersebar di aplikasi WhatsApp sejak Rabu.
Syarikat minuman itu berkata, pesanan berkenaan merupakan penipuan bertujuan memperdayakan orang ramai.
"Jika anda atau sesiapa yang anda kenali menerima hantaran atau pesanan berkenaan, jangan kongsikan hantaran tersebut. Jangan berikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor akaun bank.
"Jangan buat sebarang pembayaran," menurut Nestle dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tangkap layar pautan peraduan berkenaan yang tersebar di aplikasi WhatsApp sejak Selasa. — Facebook/AkiAmin
Sejak Rabu, tular di sosial media mengenai penyebaran satu mesej yang mengandungi pautan diragui berkenaan peraduan yang menggunkana jenama Milo Malaysia.
Dalam pada itu, Nestle meminta agar orang ramai hanya merujuk kepada laman web rasmi MILO di www.milo.com.my untuk mengetahui mengenai sebarang peraduan dianjurkan.
"Jika ragu-ragu atau memerlukan maklumat atau penerangan lanjut, segera hubungi Pusat Perkhidmatan Pengguna Nestle di www.nestle.com.my/contactus atau 1-800-883-433," jelas kenyataan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram