Tradisi paluan rebana, selawat untuk kejut sahur bergema di Ipoh


  • Massa
  • Ahad, 02 Apr 2023

SEBAHAGIAN penduduk yang menyertai acara kejut sahur di Taman Klebang Putra 1. — Bernama

"BANGUN sahur, bangun sahur”. Begitulah laungan yang kedengaran sambil diiringi paluan rebana diikuti selawat oleh sekumpulan penduduk sebagai tradisi kampung bagi mengejutkan umat Islam di sekitar kawasan Taman Klebang Putra 1 di Ipoh untuk bangun sahur awal pagi Ahad.

Program yang bermula kira-kira 3.30 pagi dan berlangsung selama 30 minit itu melibatkan lebih 50 individu termasuk kanak-kanak dengan berjalan lebih kurang tiga kilometer mengelilingi kawasan perumahan tersebut dalam usaha ‘menghidupkan’ tradisi kampung itu pada bulan Ramadan di kawasan bandar.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Klebang Putra 1, Dr Mohamad Azrul Azly, 36, berkata, program tersebut yang julung kali diadakan di taman perumahan itu menjadi medium merapatkan jurang antara penduduk untuk membina perpaduan melibatkan masyarakat setempat.

"Kami (KRT) memikirkan kelainan untuk dilakukan pada bulan Ramadan dan program ini bertujuan menghidupkan tradisi untuk kita bawa kepada taman (kawasan perumahan) khususnya bandar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kejut Sahur Paluan Rebana anjuran KRT tersebut di Ipoh awal pagi Ahad.

Menurut Mohamad Azrul, pihaknya mempertimbangkan untuk mengadakan program itu secara berkala pada bulan Ramadan, selain cuba mengaktifkan kelab rebana bagi menarik lebih ramai penyertaan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Rebana Klebang Putra Mohd Rizal Mohd Rajab, 48, berkata sesiapa sahaja boleh menggunakan khidmat kelab berkenaan bagi majlis tertentu.

"Sebelum ini kelab rebana ini biasa buat (aktif) di kampung-kampung, taman belum lagi, tetapi acara kali ini dari kampung ke taman. Daripada situ, tercetus idea untuk kejut sahur dengan paluan rebana ini ke taman,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk Muhammad Adam Chua Abdullah, 54, berkata, program pada Ahad itu merupakan acara pertama yang disertainya sejak memeluk agama Islam selama lebih 10 tahun.

Muhammad Adam Chua berkata, program tersebut merupakan acara yang unik selain dapat mengenali lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan.

"Ahli keluarga, budak-budak pun boleh sertai. Ini pengalaman baharu untuk saya dan saya rasa perlu sebagai masyarakat setempat menyertai aktiviti sebegini sebab selalunya sahur dengan ahli keluarga sahaja,” katanya.

Selain itu, penduduk Muhammad Danish Muqri Mohd Tajudin, 19, berkata, kemeriahan terasa pada program tersebut kerana mendapat penyertaan daripada penduduk setempat.

"Apabila sertai macam ini bagi yang tidak dapat merasa aktiviti di kampung, kini kita rasa sendiri bagaimana tradisi kejut sahur pagi di kampung. Sebelum ini ada baca (paluan rebana kejut sahur) tetapi tidak pernah ikut serta,” katanya yang merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak, Kampus Tapah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram