KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) tidak menerima sebarang laporan berhubung masalah yang timbul khususnya daripada segi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa dalam pelaksanaan sistem cukai jalan digital.
Menterinya, Anthony Loke sebaliknya berkata, pengguna setakat ini menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap langkah tersebut.
"Memang ada sekatan atau pemeriksaaan di jalan raya dan sebagainya (oleh pihak berkuasa), tapi saya tidak menerima laporan bahawa ada isu dari segi penguatkuasaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir bersama dalam program radio di Suria FM dan 998 FM di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada pagi Isnin.
Susulan pelaksanaan sistem cukai jalan digital yang bermula 10 Februari lalu, pemilik kenderaan persendirian tidak lagi wajib mempamerkan pelekat cukai jalan pada cermin depan atau membawa salinan fizikal lesen memandu mereka.
Anthony, pengguna setakat ini menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap pelaksanaan sistem cukai digital.
Menerusi sistem baharu tersebut, orang awam hanya perlu menggunakan mod paparan digital yang boleh diakses melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ.
Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan kegusaran terhadap pengguna jalan raya sekiranya mereka tidak dapat menunjukkan status lesen atau cukai jalan mereka secara digital ketika melalui sekatan jalan raya.
Malahan, terdapat juga pengguna mendakwa menghadapi masalah apabila tidak dapat menunjukkan status berkenaan kedua-dua dokumen tersebut ketika sekatan berkenaan.
Bagaimanapun, Anthony ketika memberikan penjelasan berhubung langkah berkenaan berkata, pemilik kenderaan tidak akan disaman sekiranya tidak dapat menunjukkan status cukai jalan dan lesen ketika melalui pemeriksaan oleh pihak berkuasa di jalan raya.
Ini kerana menurutnya, kedua-dua dokumen tersebut boleh diakses oleh pihak penguat kuasa melalui sistem yang dimiliki.
Sementara itu, Anthony berkata, beberapa isu sudah dikenal pasti untuk ditambah baik terhadap aplikasi MyJPJ yang setakat ini sudah dimuat naik oleh lebih tiga juta pengguna.
Katanya, ia meliputi aspek keselamatan data dan ciri yang terdapat dalam aplikasi berkenaan.
Pada 15 Februari lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa butiran peribadi 33 juta pemandu berisiko terdedah menerusi aplikasi MyJPJ.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, aplikasi itu dikatakan terlalu mudah diakses oleh orang ramai kerana hanya menggunakan nombor kad pengenalan.
Sehubungan itu, Ka Siong menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menangani isu itu dan meneliti semula keseluruhan sistem. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram