Polis tahan suspek lelaki kes penemuan puluhan bangkai kucing


  • 112
  • Ahad, 26 Mac 2023

Antara bangkai kucing yang ditemui di kondominium berkenaan. — Facebook/MAA

POLIS menahan seorang suspek lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat berhubung penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berumur 31 tahun yang merupakan penyewa rumah berkenaan ditahan di Cheras, pada Sabtu.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan suspek direman tiga hari mulai hari ini (Ahad),” katanya ringkas kepada Bernama.

Sebelum ini, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 13 Mac lepas dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan.

Jumaat lepas, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi akaun Facebooknya mendedahkan tentang penemuan puluhan rangka, organ dan bangkai kucing di dalam sebuah rumah yang disewa oleh seorang lelaki tempatan.

Perbuatan itu terbongkar selepas jiran di kondominium berkenaan membuat aduan berhubung bau busuk dari rumah tersebut.

Sehubungan itu MAA menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram