Polis siasat kes bunuh 20 ekor kucing di Besut


  • 112
  • Isnin, 07 Mac 2022

BANGKAI kucing yang ditemukan oleh orang awam di Pantai Bukit Keluang, Besut pada Ahad. — Facebook

POLIS membuka kertas siasatan selepas kira-kira 20 ekor kucing jalanan ditemui mati bergelimpangan di kawasan peranginan Pantai Bukit Keluang di Besut, Terengganu pada Ahad, dipercayai akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Abdul Rozak Mohammad berkata, pihaknya menerima aduan mengenai insiden itu daripada seorang individu yang menerima video kucing-kucing berkenaan melalui Whatsapp, kira-kira 10 pagi Ahad.

"Siasatan awal mendapati bangkai kucing-kucing berkenaan ditemukan oleh seorang lelaki yang pada mulanya terlihat beberapa ekor kucing mati bergelimpangan di atas tanah sekitar pantai tersebut pada kira-kira 8.30 pagi Ahad.

"Sebanyak 15 ekor kucing telah mati manakala dua ekor kucing masih hidup namun dalam keadaan kesakitan. Dua ekor kucing mati berdekatan persisiran pantai, manakala 13 ekor kucing lagi mati di atas tanah berdekatan pokok-pokok.

"Terdapat kesan lebam biru pada perut kucing, darah pada mulut dan hidung serta ada yang terburai perut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kesemua bangkai kucing berkenaan kemudiannya telah ditanam oleh lelaki tersebut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tambah Abdul Rozak, pihak Penguatkuasaan dan Teknikal dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Besut dan Kuala Terengganu telah hadir ke tempat kejadian dan mengeluarkan semula kucing yang telah ditanam itu untuk mengambil sampel bagi tujuan analisis.

Pada Ahad, seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Badrul Hafeezy Ali, 35, berkongsi video penemuan kira-kira 20 ekor bangkai kucing berkenaan di Facebook.

Video tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram