Khairul Dzaimee ke JPM, Ruslin kini KP Imigresen


  • Primer
  • Khamis, 23 Mac 2023

Khairul Dzaimee menyampaikan ucapan terakhir pada Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen pada Rabu. — Bernama

DATUK Seri Khairul Dzaimee Daud ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa Rabu.

Beliau menghadiri Majlis Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, pada 5 petang.

Khairul Dzaimee mengesahkan berita perpindahannya ke Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) JPM.

"Jawatan baharu saya ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah Datuk Seri Azalina Othman Said," katanya ringkas kepada The Star.

Beliau akan melaporkan diri ke bahagian itu pada Khamis.

Jawatan Ketua Pengarah Imigresen kini disandang bekas Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh.

Kedudukan Khairul Dzaimee menjadi tanda tanya selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperkenalkan Ruslin sebagai Ketua Pengarah Imigresen dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada pagi Rabu.

Dalam sidang akhbar terakhir di jabatan itu, Khairul Dzaimee berkata, beliau telah diberi bayangan akan ditukarkan bahagian sebulan yang lalu.

Khairul Dzaimee merupakan Ketua Pengarah Imigresen yang paling lama berkhidmat di jabatan itu selepas dilantik pada 14 Januari 2019. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram